Pura-pura jual susu, polis tahan lelaki samun suri rumah

Polis berjaya menangkap seorang lelaki warga tempatan menyamun dan ragut selepas berpura-pura sebagai penjual susu di sekitar Negeri Sembilan dalam ‘Op Sentap’ pada Ahad.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan berkata, suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan sekitar Puchong, Selangor kira-kira pukul 3.40 pagi.

“Suspek dipercayai terlibat dalam kes samun dan ragut di Negeri Sembilan. Modus operandi digunakan dengan menyamar sebagai penjual susu dari rumah ke rumah, menaiki motosikal.

“Lelaki itu menyasarkan mangsa terutama wanita yang memakai barang kemas, dengan berpura-pura menjual susu dan menyamun mangsa tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah Ahmad Dzaffir, pihaknya berjaya menyelesaikan sembilan kes yang dilakukan suspek di mana sebanyak dua kes di IPK Negeri Sembilan, tiga kes di IPK Perak, tiga kes di IPK Pulau Pinang dan satu kes di IPK Kedah.

“Serbuan turut merampas lima keping kad pengenalan dan sekeping lesen memandu milik individu lain, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR, topi keledar, kunci berlogo Yamaha, dua telefon bimbit dan dipercayai dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak pertengahan tahun lepas,” katanya.

Lelaki itu direman tujuh hari bermula Selasa dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Hasil semakan suspek mempunyai 19 rekod melibatkan kes jenayah dan dadah,” katanya.

Polis Negeri Sembilan menyeru orang ramai yang pernah menjadi mangsa kes samun dan ragut oleh suspek boleh tampil untuk membuat pengecaman.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat