Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengumumkan tiga produk kosmetik dari dua jenama yang dikesan mengandungi racun berjadual.
Nama produk kosmetik yang dimaksudkan ialah Toner Treatment EWSB, N Glow EWSB dan Glory Cosmetics Facecream yang dikatakan mengandungi racun jenis hydroquinone, tretinoin, betamethasone 17-valerate dan merkuri.
“Menyeru penjual dan pengedar produk-produk ini untuk menghentikan penjualannya serta-merta dan sekiranya ingkar, mereka boleh dikenakan tindakan bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Racun berjadual tersebut dilarang untuk dimasukkan ke dalam mana-mana produk kosmetik kerana akan meninggalkan kesan sampingan yang memudaratkan penggunanya,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara kesan sampingan yang boleh didapati sekiranya penggunaan racun berjadual tersebut termasuk kerosakan sistem saraf dan buah pinggang (merkuri), kemerahan pada kulit (hydroquinone dan tretinoin) dan bahagian kulit muka menjadi nipis (betamethasone 17-valerate).
KKM turut menasihati orang ramai yang sedang menggunakan produk ini untuk memberhentikan penggunaan dan mendapat nasihat pakar kesihatan sekiranya mengalami sebarang ketidakselesaan atau apa-apa kesan sampingan.
Untuk maklumat lebih lanjut, status notifikasi sesebuah produk boleh disemak melalui laman sesawang rasmi NPRA Product Status di pautan www.npra.gov.my.
Baca juga: