Terkait pengubahan wang haram, perbicaraan kes Ahli Parlimen Taesk Gelugor, Wan Saiful bermula hari ini

Pihak pendakwaan akan memanggil 50 saksi bagi memberi keterangan dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang memulakan perbicaran di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub dijadual berlangsung selama 22 hari dari bulan Mac hingga Ogos.

Memetik Berita Harian, difahamkan antara saksi yang akan dipanggil memberi keterangan dalam kes terbabit ialah kakitangan bank dan kakitangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta ahli politik.

Pada 21 Februari tahun lalu, Wan Saiful, 48, didakwa meminta suapan daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara pra kelayakan bernilai RM232 juta.

Beliau juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek terbabit.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 dan 30 September 2022.

Wan Saiful juga didakwa atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindahkan dan menggunakan wang hasil aktiviti haram, antaranya bagi pembelian kereta Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia dan memindahkan ke beberapa akaun termasuk milik Syarikat Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 12 Ogos dan 13 November 2022, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Baca juga: