Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) menafikan kejadian tular membabitkan jualan masakan nasi kerabu berulat berlaku di Bazar Ramadan Dataran Melang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Menurut Yang Dipertua MDKP, Mohd Faizal Abd Manap, penguatkuasa MDKP bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah telah ke lokasi yang didakwa berlaku di media sosial sebaik mendapat maklumat mengenai kejadian berkenaan.
Menurut beliau, semakan daripada empat lot yang berdaftar untuk jualan nasi kerabu hanya dua lot sahaja yang yang digunakan untuk berniaga oleh peniaga yang sama.
“Hasil pemeriksaan bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mendapati masakan dijual adalah baru dan tiada kesan makanan lama yang digoreng semula.
“Apabila pengadu dihubungi, pengadu sendiri tidak dapat sahkan maklumat tepat. Dikhuatiri aduan ini bersifat fitnah, berkemungkinan dibeli tempat lain tetapi memburukkan bazar di Kuala Pilah.
“Semakan juga mendapati bungkusan makanan yang digunakan oleh peniaga ini lain daripada yang diviralkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu tular di Facebook apabila sebuah video yang menunjukkan nasi kerabu berulat dengan kapsyen ‘ Assalamualaikum, tersedak waktu berbuka hari ini. Lokasi Nasi Kerabu Bazar Ramadan Kuala Pilah bersebelahan McDonald’s.
Video itu kemudiannya mendapat pelbagai reaksi netizen antaranya meluahkan rasa kesal selain mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.
MDKP turut menyeru netizen supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan di media sosial tanpa sumber yang sahih dan bukti yang mencukupi, tindakan undang-undang boleh diambil atas perkara yang mengundang fitnah.

Difahamkan, jika ada aduan berkaitan dengan makanan atau harga yang dikenakan oleh peniaga bazar, pengadu boleh membuat aduan terus ke MDKP dengan menyalurkan maklumat lengkap aduan seperti tarikh dan nombor gerai yang terlibat untuk tindakan selanjutnya.
Baca juga: