Safee Sali, Fitria sah bercerai talak dua

Konflik rumah tangga bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali dan isterinya, Fitria Elfina terlerai apabila mereka sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Selangor pada Selasa.

Hakim Syarie Mohd. Fakhrurrazi Mahammad memutuskan demikian dalam prosiding pengesahan lafaz cerai selepas meneliti keterangan kedua-dua pihak.

Fitria Elfina Maharip, 44, selaku plaintif berkata, dia menerima dua lafaz cerai menerusi pesanan suara yang dihantar Safee, 40, menerusi aplikasi WhatsApp pada 11 Februari lalu.

“Pesanan secara berasingan itu dihantar menerusi telefon bimbit anak kami kerana telefon saya sudah dirampas.

“Lafaz itu adalah ‘saya lepaskan awak dan saya ceraikan awak’ dan ‘sekali lagi saya ikhlas saya ceraikan awak’. Pada waktu itu, saya dalam keadaan suci dan tidak mengandung,” katanya pada prosiding itu.

Sementara itu, Safee memaklumkan dirinya dengan niat jelas dan terang hati melafazkan cerai tersebut.

Beliau memberitahu, lafaz itu dibuat ketika beliau berada dalam keadaan tenang dan berfikiran waras tanpa dipengaruhi oleh sesiapa yang memaksa melafazkan talak berkenaan.

“Kata-kata perceraian itu dibuat lebih daripada sekali supaya ‘terang’ dan saya turut menghantar pesanan suara itu kepada abang ipar yang juga wali bekas isteri,” katanya memetik Sinar Harian.

Mohd Fakhrurrazi dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengesahkan penceraian itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Terdahulu, Fitria Elfina mengakui bekas penyerang itu mula berubah sikap selepas berkahwin lain di Thailand pada Januari tahun lalu.

Fitria Elfina turut memfailkan tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 18 Mac lalu sekali gus mendedahkan sudah lebih sebulan tidak menemui dua anak selepas diambil Safee ketika ketiadaannya di rumah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat