Dianggarkan seramai enam anak kapal dikhuatiri maut dalam insiden sebuah kapal kargo dari Singapura yang kehilangan kuasa merempuh sebuah jambatan di Pelabuhan Baltimore, Maryland, Amerika Syarikat pada Selasa.
Pegawai Pengawal Pantai, Shannon Gilreath berkata, harapan untuk menjumpai anak kapal yang masih hidup amat tipis kerana air laut yang sejuk dan jangka masa yang berlaku sejak kemalangan itu sudah memakan masa yang lama.
Operasi mencari dan menyelamat juga ditangguh selama 18 jam selepas pasukan penyelam menghadapi kesukaran untuk memulakan operasi akibat perairan yang gelap.
Ketua Polis Negeri, Roland Butler berkata, pihak berkuasa berharap untuk memulakan operasi penyelaman dan menyelamatkan mangsa pada pagi Rabu.
Kapal kontena yang dinamakan Dali tersebut daripada Singapura sedang menuju ke Pelabuhan Baltimore untuk ke Sri Lanka pada kira-kira pukul 1.30 pagi (waktu tempatan) sebelum mengalami kegagalan kuasa dan melanggar Jambatan Baltimore dan karam ke dalam laut.
Anggota penyelamat berjaya menarik dua orang anak kapal ke tempat yang selamat dan salah seorang daripada mereka dimasukkan ke hospital manakala baki enam lagi anak kapal tidak berjaya diselamatkan.
Sementara itu, Setiausaha Pengangkutan AS, Pete Buttigieg memberitahu, laluan perkapalan tersebut akan ditutup dan bakal meninggalkan kesan besar dan berpanjangan kepada rantaian pembekal kerana laluan tersebut merupakan laluan yang paling sibuk dalam negara.
Susulan insiden tersebut, Presiden AS, Joe Biden memuji tindakan Pengawal Pantai AS bertindak balas dengan cepat terhadap panggilan bantuan dan Pegawai pengangkutan Maryland yang menutup jambatan tersebut sebelum keadaan bertambah lebih teruk.
Biden turut berkata akan mengunjungi Baltimore secepat mungkin dan mengatakan bahawa kerajaan persekutuan akan membayar dana pembinaan semula jambatan itu.
“Saya mengarahkan pasukan saya untuk membuka semula pelabuhan dan membina semula jambatan secepat mungkin,” kata Biden.
Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Jennifer Homendy berkata kakitangan dari Agensi Keselamatan Singapura akan tiba di Baltimore pada hari Rabu untuk tindakan lanjut.
Jambatan tersebut berfungsi sebagai jalan utama yang menghubung New York dan Washington untuk mengelakkan kesesakan di Pusat Bandar Baltimore.
Baca juga: