Polis nafi 10 kematian berpunca daripada cecair vape ‘Magic Mushroom’

Polis kontinjen Selangor dengan tegas menyangkal dakwaan melibatkan 10 kematian individu di daerah tersebut akibat menghisap rokok elektronik atau vape menggunakan cecair dikenali sebagai ‘magic mushroom’.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa, semakan dari pihaknya mendapati dua individu membuat dakwaan berkenaan kematian seorang remaja lelaki akibat daripada cecair itu.

“Berdasarkan video tersebut, kematian tersebut turut didakwa merupakan kes kematian yang kesepuluh pernah berlaku di daerah itu.

“Pihak polis dengan tegas menyangkal dakwaan tersebut dan ianya adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan.

Ramli berkata, dakwaan tersebut adalah dakwaan yang tidak berasas serta berpotensi menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

“Saya dengan ini menasihati kepada semua pengguna agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan kandungan tidak sahih.

“Dalam masa sama, masyarakat dinasihatkan agar memantau serta mengambil berat berkaitan tabiat menghisap vape dikalangan remaja dan belia agar tidak terjerumus dalam aktiviti yang membahayakan kesihatan,” katanya lagi.

Sebelum ini, satu video telah tular, memaparkan dua individu membuat dakwaan kematian seorang remaja lelaki akibat daripada cecair ‘magic mushroom’.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat