Seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar sebuah bas kilang dari arah belakang di hadapan simpang tiga lampu isyarat di Jalan Merbau Pulau-Kuala Ketil, Kedah pada Khamis.
Setelah dikenal pasti, mangsa, Ooi Su Ching, 43, bekerja sebagai pemandu jentera pengorek meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Bagaimanapun, tujuh penumpang bas yang juga pekerja kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang berusia antara 23 hingga 46 tahun dan pemandu bas terbabit selamat dan tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, anggotanya di Pejabat Pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling menerima panggilan berhubung kemalangan membabitkan sebuah bas kilang dengan motosikal itu pada pukul 8.19 malam.
Beliau berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, bas kilang itu dari arah Bayan Lepas selepas mengambil pekerja kilang terbabit ke Pekan Kuala Ketil untuk menurunkan mereka.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda pula dari arah tempat kerjanya di Kuala Bakong menghala balik ke rumahnya di Kuala Ketil.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, ketika itu lampu isyarat hijau dan bas kilang terbabit yang berada di lorong sebelah kiri dipercayai memotong sebuah kereta kemudian terlanggar bahagian belakang motosikal terbabit yang ketika itu berada di lorong kanan untuk membelok masuk ke sebelah kanan jalan,” katanya.
Shamsudin berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal terbabit terjatuh di laluan bertentangan dan cedera parah di kepala kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim dan dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.
Tambah Shamsudin Mamat, pemandu bas kilang berusia 38 tahun itu ditahan dan turut diambil sampel air kencingnya untuk siasatan lanjut.
Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Jumaat membuat permohonan reman terhadap pemandu bas.
Kes bagaimanapaun disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Baca juga: