Polis tembak mati kumpulan penyamun di Putra Heights

Lima individu ditembak mati di kawasan Putra Heights, Subang Jaya, Selangor awal pagi Sabtu dikenal pasti terlibat dengan 50 kes jenayah samun di beberapa kawasan sejak 2022.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kumpulan terbabit didapati sering mencederakan mangsa ketika melakukan kegiatan samun.

Menurutnya, berdasarkan rekod suspek pernah menetak mangsa ketika melakukan rompakan.

“Siasatan mendapati kumpulan ini menyasarkan premis syarikat penghantar barang bagi mencuri peti keselamatan yang mengandungi wang tunai kedai serta rumah.

“Antara lokasi dipercayai menjadi sasaran mereka untuk melakukan jenayah samun ialah sekitar Klang, Puchong, Bukit Jalil, Cheras dan beberapa kawasan lain,” katanya.

Tambahnya, kelima suspek yang ditembak mati itu merupakan warga tempatan berumur sekitar 30-an.

“Semakan mendapati lima suspek ini memiliki pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah.

“Selain itu, pemeriksaan dijalankan turut menemukan dua pucuk pistol, parang serta pelbagai peralatan untuk tujuan samun dan pecah rumah,” jelasnya.

Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan bagi mengesan beberapa individu dipercayai terlibat dalam kumpulan penjenayah terbabit.

“Siasatan merangkumi setiap sudut berkaitan kes ini masih dijalankan secara lanjut,” katanya.

Kesemua suspek sebelum kejadian, menaiki sebuah kereta Perodua Axia dan dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah.

Kereta dinaiki mereka kemudiannya ditahan bagaimanapun, kesemua suspek bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah pihak polis sebelum ditembak mati dalam kejadian.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat