Bangkitkan rasa nostalgia, 5 kuih raya ‘klasik’ tetap jadi pilihan untuk dijamu

Ketika Lebaran menjelang tiba, segala persiapan telah tersedia lebih-lebih lagi meja makan yang dipenuhi dengan pelbagai kuih dan juadah bagi menyambut hari mulia, Aidilfirti.

Panorama itu membawa kita lebih menghargai warisan sentuhan kulinari yang semakin pudar. Dek kerana tenggelam oleh arus kemodenan, beberapa kuih tradisional yang dahulunya menjadi menu wajib, kini sudah semakin dilupakan.

Justeru, berikut Malaysia Bangkit senaraikan lima jenis biskut raya yang mengimbau kenangan nostalgia apabila tiba Hari Raya Aidilfitri:

1. BATANG BURUK

Biskut Batang Buruk merupakan salah satu kuih tradisional yang diperbuat daripada campuran tepung gandum, tepung beras, dan tepung kelapa yang diuli hingga menjadi doh.

Kemudian, doh ini dibentuk menjadi silinder bulat berongga dan diisi dengan serbuk kacang hijau yang telah digoreng.

2. BUAH ROTAN

Diberi nama sebagai biskut buah rotan, kerana bentuknya yang bulat dan bersisik menyerupai buah rotan. Warna kuning keemasannya juga serupa dengan buah rotan. Kuih ini mempunyai tekstur agak keras dan tahan lama.

Biskut rotan adalah sejenis hidangan tradisional Melayu yang terbuat dari campuran tepung pulut dan telur bersama bijan dan beberapa bahan lain.

3. KARAS

Kuih karas atau dipanggil sebagai kuih jala cukup terkenal di negeri Kedah, Sabah, Sarawak dan Brunei. Selain menjadi snek yang enak untuk dinikmati pada minum petang, kuih karas juga memiliki rasa yang manis dan rangup.

4. MAKMUR KACANG

Kuih makmur dipercayai berasal daripada sebuah hidangan yang terkenal di negara Asia Barat. Difahamkan, hidangan ini telah diolah dan disesuaikan dengan cita rasa serta bahan masyarakat tempatan.

5. BISKUT DAM

Biskut raya ini pernah menjadi kegemaran pada satu ketika dahulu. Ia dikenali dengan corak yang menyerupai struktur ‘dam’ apabila kepingan biskut putih dan coklat disusun secara bergantian.

Corak yang cantik dan menarik ini memberikan sentuhan kreatif yang unik kepada biskut tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat