Dalam satu operasi di sekitar Johor Bahru, 26 warga asing berjaya ditahan dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan tinggal lebih masa di Malaysia pada Selasa.
Menurut Baharuddin Tahir selaku Pengarah Imigresen Negeri Johor, sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Johor telah membuat serbuan di 15 premis.
“Setelah menerima maklumat awam yang diterima, terdapat sejumlah warganegara asing tidak memiliki pas atau permit yang sah di lokasi ‘panas’ tersebut.
“Dalam operasi itu, seramai 115 orang warga asing telah diperiksa dan 26 daripada mereka telah ditahan.
“Kesemua mereka yang ditahan adalah 23 orang lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga India dan seorang lelaki warga Indonesia. Mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 49 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Baharuddin berkata, kesemua mereka dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.
“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor akan terus mempergiatkan lagi usaha penguatkuasaan dan pemeriksaan di lokasi-lokasi ‘hotspot‘ bagi membanteras isu kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
“PATI turut diseru untuk menyertai Program Repatriasi Migran yang telah bermula pada 1 Mac sehingga 31 Disember 2024 bertujuan membenarkan PATI pulang ke negara asal secara sukarela,” katanya lagi.
Baca juga: