Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu berkesempatan bertemu dengan aktivis kemanusiaan, Muhammad Nadir Al-Nuri bersama keluarganya.
Melalui satu hantaran di laman Facebooknya, Anwar turut memuat naik beberapa foto bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam sesi pertemuan bersama keluarga aktivis kemanusiaan itu yang diadakan di kediaman rasminya di Kompleks Seri Perdana.
“Alhamdulillah, gembira melihat isteri dan anak-anaknya kini berada dalam keadaan baik selepas melalui penderitaan yang panjang di Semenanjung Gaza.
“Kami berbicara panjang terkait penderitaan rakyat Palestin, pendirian Malaysia serta pengalaman anggota keluarganya keluar dari zon konflik sebelum pulang ke Malaysia.
“Saudara Nadir turut berkongsi kisah yang begitu mengesankan, anak-anaknya teruja melihat telur dan tembikai ketika mula sampai ke Malaysia kerana sudah berbulan lamanya tidak dapat menikmati makanan asas itu akibat situasi perang yang terus memburuk di sana,” katanya.
Nadir Al-Nuri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia melalui catatan ‘183 Hari Yang Panjang’ menerusi hantaran di akaun media sosialnya baru-baru ini mendedahkan sudah disatukan semula dengan keluarganya yang sebelum ini terperangkap di wilayah bergolak Gaza.
Kejayaan membawa pulang keluarganya dilakukan melalui satu ‘Misi Gila’ digerakkan kerajaan dengan perdana menteri sendiri merupakan individu penting disebalik misi tersebut.
Menyifatkan misi itu sebagai hampir mustahil dilaksana susulan bedilan roket serta hentaman bom bertali-arus oleh rejim Israel di Gaza dan ketegangan berlanjutan di sempadan Palestin, beliau memuji diplomasi dimainkan perdana menteri sehingga misi tersebut dapat berjalan cepat, teratur dan lancar.
Sementara itu, Anwar melalui hantaranya turut menitipkan doa kepada Muhammad Nadir dan keluarganya agar dapat meneruskan kehidupan dengan tenang.
“Insya-ALLAH, saya akan terus membantu sedaya upaya dalam memudahkan urusan menyalurkan bantuan kemanusiaan dari Malaysia kepada rakyat Palestin,” katanya lagi.
Baca juga: