Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam percakapan pemilik akaun media sosial Badrul Hisham Shaharin (Chegubard), dan Mohamad Salim Iskandar (Salim Iskandar) dan Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo)
Melalui satu kenyataan suruhanjaya itu berkata, pihaknya juga menyita telefon bimbit milik ketiga-tiga individu tersebut yang telah digunakan untuk memuat naik video yang didakwa tidak benar bagi tujuan siasatan.
Kenyataan itu menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Penyebaran kandungan tidak benar dengan niat mengganggu pihak lain adalah melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Setelah selesai disiasat, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut,” ujarnya pada Khamis.
Percakapan Che’gubard dan Salim Iskandar dirakam di Ibu Pejabat suruhanjaya itu di Cyberjaya, Selangor, manakala percakapan bagi Papagomo dijalankan di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur.
Pada Januari lalu, tiga individu sama pernah tampil memberi keterangan berhubung dakwaan terbabit dalam komplot untuk menggulingkan kerajaan yang dikenali sebagai Langkah Dubai di Balai Polis Setapak.
MCMC melalui kenyataan tersebut turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu.