Lelaki langgar anggota polis cedera ditembak

Polis menembak seorang lelaki warga tempatan yang bertindak melanggar anggota polis yang sedang menjalankan tugas dalam Ops Lejang berhampiran parkir di luar kawasan Kasturi Idaman, Kota Damansara, Petaling Jaya pada pukul 4.45 pagi hari Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kejadian bermula apabila suspek enggan memberhentikan kenderaan yang dipandunya ketika disuruh oleh anggota polis berkenaan.

“Satu das tembakan dilepaskan kepada suspek yang terus memandu secara melulu dan cuba untuk melanggar anggota yang berdiri di hadapan keretanya dan tembakan tersebut terkena pada bahagian kepala suspek.

“Semakan lanjut mendapati kereta yang digunakan suspek merupakan kereta curi yang dilaporkan hilang di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Suspek yang cedera pada bahagian kepala tersebut kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Shahrulnizam turut berkata hasil semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau yang melibatkan kesalahan bunuh, pecah rumah, curi kenderaan, Akta Dadah Berbahaya dan pernah dikenakan tindakan tahanan dibawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Sehubungan kes kecurian kereta tersebut, pihak polis telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat