Kerajaan bakal mengambil pendekatan lebih releven dan sesuai dengan masa kini dalam usaha menangani isu mana-mana artis yang terpalit masalah dan kontroversi.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, kementeriannya tidak berhasrat menyekat atau menggam artis terbabit daripada muncul di kaca televisyen sebaliknya mengesorkan mereka menjalani program rehabilitasi atau pemulihan.
“Realitinya artis sekarang berbeza dgn era 80-an, waktu itu ada beberapa saluran sahaja, kalau ditutup itu, mereka tidak dapat masuk ruang berkenaan.
“Hari ini jauh berbeza, ada akaun media sosial dan banyak saluran… kita tidak boleh ‘blanket ban’ (gam secara meluas) sebab membabitkan swasta dan lain-lain,” jelasnya.
Fahmi ditemui pada Majlis Madani Muhibah Aidilfitri, di pekarangan Kementerian Komunikasi serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di Putrajaya pada Khamis.

Beliau sementara itu memaklumkan, pendekatan itu dicadangkan Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman melalui perbincangan mereka.
Mengulas mengenai kaedah itu, ia jelasnya turut dilaksanakan di negara luar membabitkan artis bermasalah.
“Kita nampak cara lebih baik adalah rehabilitasi, dan kita harap artis itu mengakui kekhilafan, kekurangan serta berusaha menjadi diri lebih baik.
“Ini cara yang sedang dipertimbangkan namun saya serahkan kepada ketua pengarah penyiaran untuk melakukannya,” katanya lagi.








