Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam dijangka akan memberi manfaat kepada seluruh kakitangan kerajaan termasuk kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, penstrukturan semula tersebut dipercayai mampu untuk menyuntik semangat kerja yang lebih positif dan menaikkan motivasi penjawat awam secara keseluruhannya dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Beliau yakin dan percaya bahawa Kerajaan Perpaduan begitu komited untuk menyelesaikan usaha menambah baik struktur gaji penjawat awam yang dilaksanakan menerusi Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) tersebut kepada semua pihak yang terlibat termasuk anggota bomba.
“Kita mengharapkan supaya lebih diberikan perhatian daripada sudut kebajikan mereka (anggota bomba) juga sebab kerja-kerja yang dilakukan lebih bersifat penyelamatan.
“Daripada sudut peningkatan (gaji) itu saya juga berharap bomba dapat diberikan penumpuan yang lebih baik lagi,” katanya kepada Malaysia Bangkit ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 JBPM Putrajaya, malam tadi.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha (KSU) KPKT, Datuk Wira M Noor Azman Taib, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman, Pengurusan Tertinggi KPKT dan JBPM.
Pada majlis tersebut, tetamu pelbagai bangsa dan agama berkunjung ke perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7 Putrajaya untuk bersama-sama meraikan sambutan hari terbuka Aidilfitri dengan menikmati pelbagai menu makanan dan acara turut dimeriahkan lagi dengan majlis pemberian duit raya oleh Aiman Athirah kepada kanak-kanak yang hadir.