Lelaki rugi lebih RM239,000 terperdaya dengan skim pelaburan ternakan ikan tidak wujud

Seorang lelaki mengalami kerugian lebih RM239,000 selepas menjadi mangsa pelaburan ternakan ikan yang tidak wujud pada tahun 2018.

Menurut kenyataan Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar S. Muthuvelu, pengadu telah ditawarkan oleh suspek untuk membeli saham syarikat tidak wujud berkenaan bernilai AS$ 0.60 (RM2.86) dan dijanjikan menerima pulangan selepas tiga tahun.

“Berminat dengan tawaran tersebut, mangsa telah menyerahkan sekeping cek dan membuat dua transaksi pemindahan wang ke dalam akaun bank syarikat berdaftar di Malaysia namun sehingga kini masih gagal menerima pulangan yang dijanjikan.

“Meskipun polis menerima laporan ini pada hari Ahad, mangsa memaklumkan bahawa kesemua transaksi berkenaan dilakukan pada 3 Ogos hingga 19 September tahun 2018.

“Disebabkan itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM239,000 secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kumar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang menuntut hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun maksimum dengan sebatan dan denda jika disabit kesalahan.

Dalam pada itu, Polis Kontinjen Johor merekodkan peningkatan 47.3 peratus dalam jenayah pelaburan tidak wujud di negeri itu berbanding tahun lalu.

“Kes jenayah pelaburan tidak wujud bagi bulan Januari dan April tahun ini adalah sebanyak 218 kes manakala 148 kes pada tahun lalu dalam tempoh yang sama.

“Jumlah kerugian yang dialami mangsa juga meningkat sebanyak RM8,261,137.50, bersamaan dengan 75.4 peratus,” ujarnya.

Oleh itu, polis menyeru orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan secara terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

Baca juga: