APMM tahan bot nelayan mencurigakan bersama 3 kru warga asing

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 30 batu nautika barat daya Pulau Kendi kira-kira pukul 12.37 tengah hari Selasa.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kapten Maritim Razali Kasim melaporkan pihaknya turut menahan tiga orang orang kru warga asing berumur dalam lingkungan 26 hingga 38 tahun.

Ujarnya, penahanan dilakukan selepas anggota penguatkuasa mengesan bot tersebut yang bergerak dalam keadaan yang mencurigakan dan bot berkenaan ditahan bagi tujuan pemeriksaan dan penggeledahan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang kru sahaja dapat mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah manakal dua lagi kru gagal berbuat demikian.

“Bot yang ditahan juga tidak mempunyai surat kelulusan bertulis untuk bekerja di atas bot berkenaan daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Razali turut berkata tangkapan dilakukan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Pada Februari lalu, APMM Pulau Pinang turut menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana menggajikan lima warga Myanmar yang tiada sebarang dokumen perjalanan diri, dalam pemeriksaan di 42.3 batu nautika barat laut Pulau Kendi, Pulau Pinang.

Baca juga: