Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu rakyat seperti kemiskinan tegar, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas adalah komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk diselesaikan terutama di Kelantan.
Menurut Anwar, hal yang membelenggu itu seboleh-bolehnya diselesaikan dengan segera agar tidak terus menggangu pihak yang terkesan.
“Saya jelaskan, tidak benar sama sekali Kerajaan MADANI mengabaikan negeri ini kerana tahun lalu, telah diberikan jumlah peruntukan yang banyak untuk projek tebatan banjir, bekalan air dan perhatian dalam pendidikan Islam di Kelantan termasuk pembinaan maahad tahfiz yang baharu.
“Saya sempat titipkan pesanan, yang senada dengan Menteri Besar (Datuk Mohd Nassuruddin Daud) agar pergeseran politik yang berterusan tidak akan menguntungkan rakyat termasuk di Kelantan amnya yang perlu mendapat manfaat dari program yang telah dirancang, baik secara jangka pendek mahupun jangka panjang,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook miliknya.
Tambah beliau, kerajaan MADANI akan lakukan sebaiknya supaya Kelantan dapat membangun bersama-sama negeri lain.
Difahamkan, Anwar berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong pada Khamis.
Baca juga: