Situasi semasa demam denggi di Malaysia

Pada Minggu Epidemiologi ke-17 2024, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,237 kes berbanding 2,321 kes pada minggu sebelumnya.

Walaupun begitu, tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-17 tahun 2024. 
 
Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-17 adalah sebanyak 52,887 kes berbanding 36,977 kes bagi tempoh sama tahun 2023 manakala 39 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023. 
 
Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-17 adalah sebanyak 63 lokaliti berbanding 80 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Untuk rekod dari 63 lokaliti yang dilaporkan, 51 lokaliti di Selangor, empat (4) lokaliti di WPKL & Putrajaya, tiga (3) lokaliti di Pulau Pinang, dua (2) lokaliti Perak, dua (2) lokaliti di Kedah dan satu (1) lokaliti di Sarawak.
 
Bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-17. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 23 kes. Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-17.

Manakala bagi survelan zika, sebanyak 850 sampel darah dan enam (6) sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
 
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan kendiri dengan memakai pakaian yang berwarna cerah, baju berlengan panjang dan berseluar panjang serta menggunakan produk penghalau nyamuk (repelan) bagi melindungi diri daripada gigitan nyamuk Aedes.

Selain itu, elakkan berada di luar rumah pada waktu puncak gigitan nyamuk Aedes iaitu pada awal pagi dan lewat petang. Dinasihatkan agar melakukan aktiviti semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa yang bersembunyi di dalam rumah.

Orang ramai juga boleh menyemak status wabak atau hotspot denggi bagi destinasi yang dituju melalui laman sesawang iDengue https://idengue.mysa.gov.my sebagai langkah berjaga-jaga dan seterusnya mengambil tindakan proaktif untuk mengelak terkena jangkitan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat