Seorang lelaki maut, 2 lagi cedera dalam kemalangan di Lebuhraya PLUS

Satu insiden kemalangan jalan raya dipercayai melibatkan sebuah kenderaan dan sebuah lori kontena telah berlaku di Jalan Kilometer 242.9 Lebuhraya PLUS arah utara pada pukul 4.22 pagi Rabu.

Menurut Komander Operasi, Penolong Bomba Kanan Hariezaq Muhamad Zawawi, seramai 10 anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota telah digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dan sebuah lori kontena.

“Setibanya pihak bomba ke lokasi kejadian, terdapat tiga orang mangsa lelaki berbangsa Melayu berumur 21 tahun yang menaiki kenderaan Toyota Vios, dua daripadanya dilaporkan mengalami kecederaan.

“Manakala, seorang mangsa lelaki berumur 21 tahun dibahagian penumpang hadapan telah berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, pemandu lori yang terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut akan diserahkan kepada pihak polis.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat