Malaysia mengekalkan kerjasama rapat bersama beberapa negara untuk memudahkan urusan dalam dan luar negara menerusi beberapa kunjungan hormat negara luar ke Malaysia pada Selasa.
Perkara tersebut disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menerima kunjungan rasmi dari empat buah negara di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Kunjungan pertama yang diterima adalah daripada Menteri Dalam Negeri Brunei, Datuk Seri Setia Awang Ahmaddin Abdul Rahman yang membincangkan mengenai isu sempadan antara Malaysia dan Brunei.
“Saya akan cuba menambah baik proses kemasukan antara Malaysia-Brunei kerana dimaklumkan bahawa majoriti rakyat Brunei sering berkunjung ke Miri dan Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan.
Kunjungan kedua pula merupakan kunjungan daripada Assistant Interior Minister for Operations Affairs Arab Saudi, Jeneral Saeed AlQahtani dan Saifuddin telah menyampaikan hasrat kerajaan Malaysia untuk mempermudahkan urusan visa dan jemaah haji pada musim haji kali ini.
Seterusnya, Malaysia turut menerima kunjungan daripada Duta Besar Kuwait di Malaysia, Rashed Mohammed Al-Saleh yang membincangkan mengenai aspek keselamatan antara kedua-dua buah negara pada masa kini.
Dalam kunjungan terakhir pula, Malaysia menerima kunjungan daripada Menteri Dalam Negeri dan Warisan Budaya Zimbabwe, Kazembe Kazembe yang membawa hasrat untuk mempelajari sebanyak mungkin aspek keselamatan dan kawalan sempadan Malaysia seperti Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA).
Saifudin menerima kesemua kunjungan tersebut selepas menyelesaikan tugasnya pada hari kedua Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan.
Pameran tersebut disertai oleh kebanyakan negara Islam yang besar seperti Turkiye, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iran, Bosnia dan Herzegovina serta Pakistan.
Pengunjung yang hadir dapar menyaksikan penyertaan lebih 1,324 syarikat dari 60 negara yang mempamerkan teknologi pertahanan dan keselamatan masing-masing bermula Isnin lalu sehingga Khamis.
Baca juga: