Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said dan delegasinya melakukan tinjauan secara empirikal ke Ottawa, Kanada bagi mendalami ilmu pengasingan kuasa peguam dan pendakwa raya negara Kanada.
Sehubungan itu, Kanada dipilih sebagai garis panduan ekoran susulan Mesyuarat Jawatankuasa Kajian Komparatif Inisiatif Pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang telah diadakan pada 2 April yang lalu.

“Saya bersama delegasi, kini berada di Ottawa bagi menjalankan kajian secara terperinci ke atas konsep yang diamalkan di negara tersebut.
“Hal ini bagi mendapatkan keterangan secara terus dan sebagai rujukan amalan terbaik dalam usaha untuk mengenal pasti model yang sesuai buat Malaysia.

“Sesi lawatan tersebut juga adalah untuk membuka ruang bertukar-tukar pandangan serta berkongsi maklumat dan pengetahuan terutama pengalaman mereka melaksanakan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya hampir 20 tahun,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, lawatan tersebut turut diikuti Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, Ahli Parlimen Pendang Datuk Haji Awang bin Hashim, dan Ahli Parlimen Jelutong, Sanisvara Nethaji Rayer A/L Rajaji.

Selain itu, pegawai-pegawai kanan daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) serta Presiden Majlis Peguam Malaysia turut serta mengikuti kunjungan tersebut.
Menurut Azalina, kajian empirikal itu merupakan bukti jelas komitmen Kerajaan MADANI dalam merealisasikan agenda reformasi institusi bagi memastikan tadbir urus negara terus dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Baca juga: