Rakyat Malaysia perlu mengetahui kepentingan institusi beraja kerana ia merupakan tonggak pembinaan negara bangsa yang bertamadun dalam negara pada masa kini.
Perkara tersebut disampai oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika menghadiri Seminar Institusi Raja VII (SIRaj VII): Adat Istiadat Melayu, bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Kuala Lumpur pada Khamis.
Selain memberi kesedaran kepada masyarakat, Fadhlina turut menekankan bahawa seminar tersebut turut memberikan penjelasan berkaitan peranan Institusi Beraja yang menaungi dan melindungi elemen bahasa dan budaya Melayu.
“Elemen bahasa dan budaya Melayu merupakan unsur ampuh dalam memastikan kelangsungan Malaysia sebagai negara bangsa yang progresif, namun masih mempunyai pasak kukuh yang melibatkan bahasa, sastera, budaya dan persuratan Melayu.
“Kepentingan elemen ini adalah seperti yang terkandung dalam Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, iaitu prinsip keenam wasiat tersebut yang menegaskan bahasa Melayu telah ditetapkan menjadi bahasa kebangsaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
SIRaj VII merupakan seminar anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Turut berangkat ke seminar tersebut, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Baca juga: