Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan program Kembara Sihat Sejahtera HePiLI (Health Promotion in Learning Institutions) bersama siri animasi 3D negara, Didi & Friends untuk mempromosikan kesihatan di institusi pendidikan dengan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran tingkah laku kesihatan golongan muda dalam negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menekankan bahawa program HePiLI merupakan inisiatif KKM untuk membudayakan gaya hidup sihat di kalangan pelajar dari peringkat prasekolah hingga universiti.
Beliau turut menyatakan kepentingan usaha bersama dalam mendidik anak-anak tentang kesihatan, mengingatkan bahawa ramai anak-anak menghadapi masalah kesihatan seperti obesiti, kurang bersenam dan tidak mengamalkan pemakanan yang seimbang.
“Hasil kerjasama HePiLI bersama Didi & Friends, diharapkan dapat menggunakan pendekatan yang menyeronokkan untuk memperkukuhkan kesedaran kesihatan dalam kalangan kanak-kanak.
“Dengan menggunakan pendekatan edutainment melalui program animasi Didi & Friends, KKM berharap program ini dapat memperoleh capaian dan liputan yang meluas, menjadikan hidup sihat sebagai mesej utama melalui penerbitan animasi berkenaan,” ujarnya.
Beliau berkata berkenaan ketika melancarkan program Kembara Sihat Sejahtera HePiLI bersama Didi & Friends Zon Utara di Village Mall, Sungai Petani, Kedah pada Jumaat.
Program tersebut telah dilaksanakan sejak November 2023 dan akan berlanjutan hingga tahun 2025, merangkumi 17 lokasi termasuk 6 lokasi utama dan 11 sesi ‘Meet and Greet‘ melibatkan penyertaan murid sekolah dari pelbagai negeri di Malaysia.
Program Kembara tersebut akan terus berlanjutan ke beberapa negeri di Malaysia dan menggunakan platform media sosial sebagai saluran untuk menyampaikan mesej kesihatan.
KKM juga sedang membangunkan pelbagai inisiatif lain untuk memperkukuhkan program HePiLI di sekolah-sekolah, dengan harapan dapat melahirkan generasi muda yang sihat dan cergas.
Turut hadir dalam majlis pelancaran, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Dr Norizan Ahmad dan Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM, Suraiya Syed Mohamed.

Baca juga: