Insiden pokok tumbang: pakar saran wujudkan akta libatkan semua pihak

Presiden Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM), Profesor Madya Dr Nor Atiah Ismail mencadangkan satu akta baharu diwujudkan bagi beberapa pihak mengambil tanggungjawab sekiranya berlaku insiden pokok tumbang.

Dr Nor Atiah berkata akta berkenaan harus dikuatkuasakan keatas arkitek landskap yang membangunkan suatu kawasan tidak kira di bandar ataupun di desa.

“Arkitek landskap juga perlu turut sama bertanggungjawab dalam isu sebegini kerana mereka yang memainkan peranan dalam mereka bentuk dan memilih pokok yang mengimbangi alam sekitar kawasan projek dibawah mereka.

“Sekiranya pokok tumbang di kawasan tersebut, bukan sahaja PBT perlu disalahkan malah semua pihak yang terlibat dari permulaan pembangunan kawasan tersebut hingga selesai,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Isnin.

Nor Atiah turut menegaskan antara pihak yang perlu ditaklukkan didalam akta tersebut ialah pakar arboris yang sepatutnya membuat pengawasan dan pemuliharaan namun gagal melakukan sedemikian serta para kontraktor yang membangunkan kawasan tersebut.

Ia susulan daripada insiden pokok tumbang yang kerap berlaku beberapa kali pada bulan ini, antaranya insiden di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 7 Mei lalu dan insiden berasingan di Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang pada Isnin.

Anda Mungkin Berminat