Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan empat mata bersama Presiden Tokayev bagi memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Kazakhstan.
Anwar dalam satu hantaran di Facebook berkata, beliau dan delegasi Malaysia menghadiri majlis sambutan rasmi oleh Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev di Istana Presiden (Akorda).
“Dalam pertemuan itu, kami mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan dengan lebih meluas kerjasama kedua-dua negara yang merangkumi pelbagai sektor.
“Hal ini termasuklah dalam sektor seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, pelancongan, dan industri halal,” katanya.
Mesyuarat itu mencapai kata sepakat untuk memperkukuhkan hubungan yang terjalin sejak 16 Mac 1992 serta meneroka peluang kerjasama baharu.
Sementara itu, Anwar telah mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Republik Kyrgyz dan meneruskan misi mencari pelaburan ke Kazakhstan serta dijadualkan akan bergerak ke Uzbekistan.
Baca juga: