Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Haji Takiyuddin Hassan menggesa siasatan dilakukan dengan segera bagi memastikan keselamatan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam keadaan yang terjaga.
Kenyataan itu susulan kes Teresa Kok menerima kertas ugutan bunuh bersaiz A4 bersama dua peluru yang diletakkan dalam peti surat di kediamannya pada Ahad.
Menurutnya, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk keras insiden ugutan bunuh melalui surat terhadap Teresa Kok, sekali gus bersolidariti dengan beliau dalam isu keselamatan dan perlindungan diri daripada apa-apa juga perbuatan jenayah dan bertentangan dengan undang-undang.
“Sebagai rakyat Malaysia dan seorang Ahli Parlimen, Teresa berhak mendapat semua perlindungan yang disediakan di bawah undang-undang negara, selain berhak menjalani kehidupan, baik sebagai individu mahu pun ahli politik, dengan aman dan bebas daripada ketakutan atau ancaman.

“PAS juga mengambil maklum bahawa pihak polis sudah pun memulakan siasatan kes di bawah Seksyen 507, Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah melalui kaedah perhubungan sembunyi nama.
“Saya berharap ia dapat disegerakan kerana perbuatan jenayah seperti ini tidak boleh diterima sama sekali dalam masyarakat kita.Kesegeraan siasatan dan pendakwaan ke atas pihak-pihak terbabit menjadi lebih utama memandangkan kejadian seperti ini kerap berlaku,” ujarnya menerusi satu hantaran di Fecebooknya.
Beliau turut mengutuk tindakan lemah daripada pihak bertanggungjawab yang akan menyuburkan kecenderungan negatif dalam masyarakat.
Baca juga: