Lelaki warga Israel ditetapkan 9 hari kes bicara, dua pertuduhan miliki senjata dan peluru

Seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom bakal menghadapi sembilan hari perbicaraan kes bermula 30 September nanti atas dua pertuduhan berkaitan senjata api dan peluru.

Mahkamah Sesyen menetapkan perkara berkenaan pada Selasa dan tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 30 September, 1 hingga 3 Oktober kemudian, bersambung pada 7 hingga 11 Oktober 2024.

Menurut Hakim, Norina Zainol Abidin, beliau menetapkan tarikh tersebut setelah Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P.Kunyalam dan peguam Navinjit Singh bersetuju dengan tarikh-tarikh yang dicadangkan.

Dalam pada itu, Mustafa turut memaklumkan seramai 20 orang saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan berkenaan kes tersebut.

“Anggaran saksi yang dipanggil seramai 20 orang dan ada kenyataan saksi turut disediakan.

“Selain itu, sebanyak 17 dokumen kes akan diserahkan kepada pihak pembelaan hari ini,” katanya memetik laporan Kosmo Online.

Sementara itu, Avitan, 38, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Inggeris.

Merujuk pertuduhan pindaaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

“Manakala, bagi pertuduhan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286); Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463); Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496); Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090); M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).

“Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lepas,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat