14 keluarga dan 46 orang mangsa terjejas dalam insiden kebakaran rumah panjang di Kampung Long Bangan Apoh, Baram, Sarawak pada Selasa.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.05 pagi dan terus bergegas ke lokasi kejadian.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, Penolong Penguasa Bomba Maureen Sim selaku Komander Operasi, jarak ke lokasi kejadian adalah sejauh 248 kilometer dan jentera tiba di lokasi pada 3.04 petang.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati kebakaran yang berlaku telah memusnahkan bangunan rumah panjang persendirian yang melibatkan 14 buah pintu dan terbakar sepenuhnya. Saiz sebuah rumah adalah 24 x 36 kaki persegi.
“Sebuah kenderaan Toyota Hilux dan sebuah motosikal Honda Wave tidak dapat diselamatkan dan telah terbakar sepenuhnya selain, 14 keluarga dan 46 orang mangsa kesemuanya telah terjejas dengan kebakaran yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Walaubagaimanapun, tiada mangsa yang mengalami kecederaan dan kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri sendiri.
“Dalam pada itu, api dapat dikawal daripada terus merebak ke unit-unit rumah yang lain dan penduduk kampung telah berusaha melakukan pemadaman menggunakan sumber air yang sedia ada.
“Jumlah keseluruhan rumah yang ada di kawasan penempatan tersebut adalah 102 pintu dan yang terbakar adalah sebanyak 14 pintu.
“Pihak Bomba tidak menjalankan sebarang operasi pemadaman kerana kebakaran telah padam sepenuhnya. Butiran keterangan maklumat mangsa telah di ambil bagi melengkapkan maklumat penyiasatan kebakaran,” katanya.
Jelasnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam penyiasatan. Operasi telah ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.35 petang.
Baca juga: