Malaysia kecam pencerobohan Israel di Masjid Al-Aqsa

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan tentera dan pendatang Israel yang diketuai Menteri Keselamatannya ke dalam Masjid Al-Aqsa dan perkarangannya pada Khamis (27 Julai).

Pencerobohan itu jelas mempamerkan tindakan provokasi dan mencemarkan kesucian Masjid Al-Aqsa, menurut Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dalam satu kenyataan lewat Jumaat.

Malaysia tidak akan sekali-kali membenarkan sebarang percubaan tentera penjajah yang bertujuan mengubah status sejarah dan undang-undang Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif dan tidak akan mengiktiraf sebarang hasil daripada tindakan haram terbabit.

Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk mempertahankan status undang-undang tapak suci dan meminta rejim Israel bertanggungjawab atas pencerobohan itu demi keamanan dan kestabilan, tambah Wisma Putra.

Malaysia terus bersolidariti dengan rakyat Palestin dan mengulangi status Al-Haram Al-Sharif sebagai tapak suci umat Islam.

Malaysia juga berpegang teguh dengan pendiriannya yang tidak berbelah bahagi bahawa rakyat Palestin berhak untuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Anda Mungkin Berminat