11 PATI ditahan cuba keluar secara haram melalui perairan Tanjung Rhu

Tindakan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai cuba keluar secara tidak sah dari negara ini tidak berjaya apabila ditahan berdekatan Pantai Tanjong Rhu, Telok Panglima Garang, Selangor pada Rabu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintenden Mohd Sufian Amin berkata, penahanan itu dibuat apabila pihaknya menerima aduan berkaitan PATI berkenaan dilihat sedang berkumpul dalam keadaan yang mencurigakan.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dan pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kemudiannya digerakkan ke lokasi pada pukul 12.30 pagi.

“Hasil daripada pemeriksaan terdapat dua orang lelaki warga asing, empat orang perempuan warga asing, seorang kanak-kanak lelaki dan empat orang kanak-kanak perempuan yang gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri.

“Hasil soal siasat awal, kesemua PATI mengaku ingin keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan (Jalan Laut),” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Sufian, sepasukan pegawai dan anggota polis telah bertindak menangkap kesemua suspek dibawah Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63.

Tambahnya, setelah membuat semakan pihaknya mendapati kesemua suspek yang ditangkap berumur lingkungan dari tujuh tahun hingga 51 tahun.

“Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/1963 jerana tidka memiliki dokumen perjalanan yang sah jika disabit kesalahan boeh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lama tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan,” katanya.

Difahamkan, kesemua suspek direman selama 14 hari di lokap Balai Polis Banting, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat