Ibu bapa Zayn Rayyan ditahan polis

Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemukan mati dibunuh dalam kejadian di Damansara Damai, Disember lalu ditahan polis pada Jumaat.

Difahamkan, pasangan suami isteri berusia 28 tahun itu ditahan pada pagi semalam di Puncak Alam, Selangor dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

“Setakat ini tiada maklumat berhubung siasatan yang sedang dijalankan polis terhadap pasangan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan pasangan suami isteri terbabit.

Beliau berkata, mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk permohonan reman hari ini.

Terdahulu, negara digemparkan dengan kes kematian kanak-kanak autisme berusia enam tahun yang disyaki dibunuh selepas lebih 30 jam dilaporkan hilang.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan di kawasan saliran air kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya oleh orang awam yang menyertai operasi mencari mangsa.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.