Lebih seribu orang berhimpun di Bukit Bintang bagi menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin berikutan isu pengeboman berterusan Israel ke atas Palestin, pada malam Sabtu.
Acara yang dikendalikan oleh Boycott, Divestment & Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) yang dinamakan “Solidarity Walk To Show Our Support For The People of Palestine” itu menerima penyertaan daripada ramai pihak termasuk warga asing dan kanak-kanak.
Ramai yang hadir memakai keffiyeh, selendang tradisional Palestin, dan membawa sepanduk yang menyeru kepada keamanan di Palestin.
Mereka turut melaungkan “Free,Free Palestine” sambil berarak ke sekitar Bukit Bintang dan dalam masa yang sama mengenangkan penderitaan yang dialami rakyat Palestin sehingga kini bertarung nyawa selepas tanah air mereka sendiri dirampas Zionis.
Sebelum ini, rakyat Malaysia turut menunjukkan solidariti mereka dalam satu himpunan mega yang berlangsung di Dataran Merdeka pada 22 Oktober 2023 yang mengumpulkan beribu-ribu orang berarak sekitar ibu kota.
Malaysia adalah salah satu negara yang dikenali atas ketegasan dan pendirian yang tetap menghentam tindakan dan kejahatan zionis Israel sejak berdekad.
Baca juga: