Seorang pendaki lelaki rakyat Malaysia, Zulkifli Yusof, 37, maut ketika mendaki Gunung Denali di Alaska, Amerika Syarikat (AS) berjaya dibawa turun dari lokasi kejadian pada 1 Jun 2024.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Kelab Alpine Malaysia, jenazah kini ditempatkan di sebuah hospital di Anchorage, Alaska dan akan menjalani proses selanjutnya.
“Kami mendapat makluman melalui Konsular Malaysia di Los Angeles dan pihak penyelamat bahawa jenazah Allahyarham Zulkifli Yusof, 37 tahun yang meninggal semasa mendaki di Gunung Denali, Alaska telah selamat dibawa turun dari lokasi kejadian pada 8.30pagi 1 Jun 2024 waktu tempatan.
“Pihak keluarga sedang berurusan dengan syarikat insuran dibantu wakil Konsular Malaysia untuk membawa jenazah pulang ke Malaysia dalam masa terdekat.
“Sementara itu, dua pendaki lain iaitu Illaham Ishak dan Zainudin Lot, masing-masing berusi 47 tahun masih berada di hospital untuk rawatan akibat frostbite,” katanya.
Dalam masa sama, wakil Kelab Jelajah Alpine, Norsafrina Shamsir Md Nasir kini berada di Talkeetna Alaska untuk membantu urusan membawa pulang jenazah dan dua pendaki iaitu Illaham serta Zainudin.
“Buat masa ini, kami mohon agar pihak waris dan keluarga diberikan ruang privasi sebaiknya. Kami mohon agar rakyat Malaysia doakan agar semua urusan dipermudahkan.
“Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, kami mohon semua pihak termasuk media agar berhubung dengan pegawai perhubungan kelab Encik Ayob di talian +60 17-337 2696,” katanya lagi.
Terdahulu, mangsa maut bersama dua rakannya telah terkandas pada ketinggian 19,700 kaki di Gunung Denali di Alaska, sejak Selasa lalu.
Pada Selasa lalu, difahamkan, Illaham Ishak telah berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat daripada Denali National Park & Preserve dan pada Jumaat, Zainudin turut berjaya diselamatkan serta sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Talkeetna, Alaska.
Baca juga: