Suhu panas dijangka cecah 44 darjah Celsius di Mekah, Madinah

Kerajaan Arab Saudi memberi amaran kepada semua jemaah berhubung jangkaan suhu panas yang diramal meningkat sehingga mencecah 44 darjah Celsius pada musim haji tahun ini, lapor laman berita Al Arabiya.

Lebih 2,000 jemaah mengalami strok haba pada musim haji tahun lalu selepas suhu mencapai 48 darjah Celsius.

Ketua Pusat Meteorologi Negara, Ayman Ghulam berkata, perubahan iklim menyaksikan peningkatan suhu panas sehingga melebihi suhu normal di dua Kota Suci umat Islam iaitu Mekah dan Madinah.

“Iklim cuaca panas bagi musim haji kali ini diramal menyaksikan peningkatan purata suhu sebanyak 1.5 hingga 2 darjah Celsius melebihi suhu normal di Mekah dan Madinah,” katanya dalam satu sidang akhbar semalam.

Tambah Ayman, purata suhu maksimum dijangka mencapai 44 darjah Celsius, manakala kadar hujan menghampiri sifar dan kelembapan relatif sebanyak 25 peratus.

Susulan itu, pegawai haji mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan kesan haba termasuk menyediakan khemah dengan penyaman udara dan sistem kabus.

Menurut Ayman, pihak berkuasa juga perlu menyediakan kuantiti air yang mencukupi bagi memenuhi penggunaan harian jemaah semasa suhu panas.

Seramai 1.8 juta jemaah haji dari seluruh dunia mengerjakan rukun Islam yang kelima di Arab Saudi pada tahun lalu. – AGENSI 

Baca juga: