Dewan Belia Sabah menyeru pempengaruh dan pengguna media sosial untuk lebih berhati-hati dan sensitif dalam menghasilkan kandungan yang melibatkan simbol rasmi negeri atau kebangsaan.
Jawatankuasa Kerohanian, Perpaduan dan Patriotisme Dewan Belia Sabah mengeluarkan kenyataan demikian susulan tular sebuah video yang menyanyikan lagu negeri Sabah dengan cara yang tidak sesuai.

“Lagu Sabah Tanah Airku ini haruslah dinyanyikan dengan penuh semangat dan mengikut tata tertib serta rasa hormat sesuai dengan tuntutan Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan.
“Menghormati lagu rasmi negeri adalah tanggungjawab semua pihak kerana di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung,” kata kenyataan yang dikeluarkan Dewan Belia Sabah pada Khamis.
Jawatankuasa Dewan Belia Sabah turut menyatakan video tersebut telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet khususnya rakyat Sabah.
“Lagu ini memegang sentimental yang sangat tinggi kepada seluruh rakyat Sabah kerana ia adalah satu identiti dan kehormatan yang menyatukan kita semua,” tambah kenyataan tersebut.
Sebagai pempengaruh atau penyampai podcast yang mempunyai pengikut yang pelbagai, adalah menjadi satu tanggungjawab untuk memperbetulkan norma yang sudah menjadi kebiasaan.
Dalam pada itu, jawatankuasa tersebut turut berharap isu berkenaan dapat diselesaikan dengan berhemah dan penuh hikmah untuk dijadikan pengajaran dan iktibar buat semua.
Untuk info, podcast yang tular tersebut merupakan siaran daripada laman YouTube TamoTauge Podcast dalam episod ke-17 yang bertajuk Keluhan Anak Muda Sabah.
Episod podcast tersebut turut menjemput seorang usahawan sosial dan peneraju The Radu Talent, Janna dan penyanyi dari kumpulan B-Quexx dan peserta Suara Bayu, Fadzley.
Baca juga: