Hubungan erat kerajaan negeri dan pusat, mudahkan Felda laksana projek

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memerlukan kerajaan negeri yang mempunyai hubungan erat dengan kerajaan Persekutuan bagi memudahkan agensi itu melaksanakan sebarang projek pembangunan yang dirancang berkaitan warga Felda.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sebagai agensi kerajaan yang diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan projek pembangunan tanah, aktiviti pertanian, dan perindustrian, Felda komited untuk melaksanakan amanah tersebut namun ia sukar dilaksanakan jika tidak mendapat kerjasama kerajaan negeri.

“Contohnya terdapat beberapa projek perumahan untuk generasi peneroka Felda di negeri ini seperti projek perumahan Felda di Kerteh 5 terbengkalai selepas kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lepas apabila kerajaan negeri tidak memberikan kerjasama.

“Selepas BN tidak lagi menjadi kerajaan, projek berkenaan tidak dapat diteruskan kerana tiada siapa yang mahu menanggung kos dari segi pembinaan infrastruktur dan sebagainya,” katanya memetik laporan Bernama.

Hal itu katanya menimbulkan keresahan dalam kalangan generasi baharu Felda yang sememangnya amat memerlukan kemudahan berkenaan.

Menurutnya, Felda sebelum ini pernah melaksanakan projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) sejak 2013 dan dapat menjualnya dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran, namun ia tidak dapat diteruskan berikutan soal subsidi yang agak tinggi.

“Bila subsidi terlalu tinggi, tidak banyak rumah yang kita dapat bina dan anak syarikat Felda yang melaksanakannya itu tidak mempunyai daya tahan untuk meneruskannya.

“Disebabkan masalah itu, banyak tempat kita dapati projek-projek PGBF ini yang dibina oleh Felda tergendala,” katanya.

Tambah beliau, Felda yang sentiasa komited dalam menyediakan kemudahan asas untuk peneroka termasuk soal perumahan, akan mencari jalan penyelesaian dan model terbaik bagi mengatasai masalah itu.

Ia termasuk menyediakan lot tanah dan peneroka akan membina sendiri rumah terbabit selain mewujudkan perkongsian dengan pihak swasta untuk membina rumah-rumah di kawasan Felda.

Anda Mungkin Berminat