Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penipuan pelaburan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah menerusi penahanan 18 individu dalam serbuan berasingan pada 4 dan 5 Mei lalu.
Kesemua individu terdiri daripada 12 lelaki dan enam wanita berusia 30 hingga 71 tahun itu ditahan pada operasi di Sabah, Perak dan Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket yang beroperasi sejak 2019 itu menawarkan pelaburan kononnya berkaitan IKS Sabah.
Menurutnya, sindiket dipercayai berperanan selaku dalang, moderator dan pemilik akaun keldai yang digunakan oleh sindiket penipuan terbabit.
“Sindiket menggunakan nama Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk meyakinkan mangsa bahawa pelaburan adalah sah. Aplikasi WhatsApp dijadikan sebagai medium untuk berkomunikasi selain perjumpaan bersemuka yang turut dilakukan dengan mangsa.
“Sindiket juga menawarkan pulangan yang tinggi dalam bentuk hibah. Antaranya, melalui pelaburan RM1,000, pelabur dijanjikan keuntungan RM200,000 dalam tempoh tiga bulan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, mangsa yang terpedaya mendepositkan wang melalui pindahan ke beberapa akaun keldai milik syarikat dan perniagaan namun tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan.
“Setakat ini, 15 laporan polis diterima dengan jumlah kerugian keseluruhan RM2.98 juta.
“Hasil penahanan itu, polis merampas 28 kad debit pelbagai bank, 24 telefon bimbit pelbagai jenama, dua komputer riba dan sebuah tablet.
“Kita turut menyita 15 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM69,796.90, Toyota Hilux selain membekukan 38 akaun bank berjumlah RM108,131.93 mengikut Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001,” katanya.
Katanya, kesemua suspek direman masing-masing sehingga Rabu bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Baca juga: