Seorang kerani swasta mengalami kerugian lebih RM102,700 selepas menjadi mangsa penipuan ‘phone scam‘ yang menyamar sebagai pegawai perkhidmatan penghantar kiriman.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani memaklumkan mangsa merupakan seorang wanita berusia 34 tahun.
“Mangsa melaporkan telah menerima panggilan dari individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai dari perkhidmatan penghantar kiriman.
“Suspek memberitahu bahawa terdapat barang terlarang telah diposkan menggunakan butiran diri mangsa namun dinafikan olehnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Abdul Razak turut menyatakan mangsa kemudiannya dihubungi oleh sorang lagi penyamar pegawai polis yang memaklumkan alaun bank mangsa telah terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram.
“Suspek turut meyakinkan mangsa untuk memberi segala butiran akaun bank yang dimiliki mangsa untuk tujuan siasatan.
“Mangsa turut diarahkan untuk memindahkan wang dari beberapa akaun simpanannya ke akaun bank yang lain hingga mencecah nilai RM102,700,” ujarnya.
Mangsa hanya dapat menyedari dirinya telah ditipu setelah didesak untuk membuat pemindahan wang lagi selepas sejumlah wang tersebut telah dipindahkan.
Tambah Abdul Razak, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pesalah boleh dihukum penjara selama tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebatan dan denda.
Dalam pada itu, pihak polis turut menyeru orang ramai untuk lebih berhati-hati apabila menerima panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa transaksi yang meragukan.
Baca juga: