Berita baik buat peminat lagu ‘galau’, Indonesian Music Festival bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 24 Ogos yang menyatukan kumpulan Kotak, Ifan Seventeen dan Marcello Tahitoe.
Kotak merupakan sebuah kumpulan muzik rock Indonesia yang ditubuhkan pada 27 September 2004 yang terdiri daripada Tantri (Tantri Syalindri Ichlasari) sebagai vokalis, Chua (Swasti Sabdastantri) sebagai pemain bass dan Cella (Mario Marcella) sebagai pemain gitar utama.
Band Kotak yang popular dengan lagu Pelan-Pelan Saja, Masih Cinta, Tendangan Dari Langit dan Aku Yang Tersakiti pasti tidak akan mengecewakan penonton.
Antara kejayaan yang dimenangi oleh Kotak dalam pelbagai acara anugerah muzik adalah Anugerah Muzik Indonesia ke-12, untuk Kategori Solo/Duo/Kumpulan Rock Terbaik. Album Kotak Kedua turut dianugerahkan kategori Album Rock Terbaik.
Mereka juga berjaya memenangi kategori Kumpulan/Duo Pendatang Baru Terbaik mengikut Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 serta Anugerah MTV Indonesia untuk Most Favourite Breakhtrought Artist 2009.
Selain itu, bagi penggemar lagu Kemarin milik Ifan Seventeen, kini masanya untuk menikmati lunak suaranya, setelah insiden yang menimpa Ifan pada tahun 2018 lalu.
Sejak tahun 2018, Ifan kini berada dalam perjalanan baru dan lebih memilih untuk membuat persembahan secara solo, setiap kali menyanyikan lagu ciptaan Herman Sikumbang tersebut.
Ifan, 41 atau nama sebenarnya Rifian Fayacia pasti akan menghibur para peminat dengan lagu-lagu popular Seventeen seperti Cinta Jangan Disembunyikan, Akujira, Menunggu Kamu, Jaga Selalu Hatimu, Sumpah Ku Mencintaimu, dan Hal Terindah.
Tambahan pula, seorang lagi penyanyi bakal menghiburkan penonton di Indonesian Music Festival ialah Marcello Tahitoe, 41.
Marcello Tahitoe atau lebih dikenali sebagai Ello, adalah seorang penyanyi, komposer dan produser muzik Indonesia dan merupakan vokalis baru kumpulan Dewa 19 sejak 2022 hingga sekarang.
Penyanyi berdarah campuran Maluku-Batak itu lahir daripada keluarga seni kerana bapanya, Minggoes Tahitoe dan ibu, Diana Nasution adalah penyanyi popular era 1970-an.
Untuk menonton persembahan artis hebat ini jangan lupa untuk menempah tiket-tiket yang dijual pada harga RM488 (VIP), RM388 (CAT 1), RM338 (CAT 2), RM288 (CAT 3) dan RM188 (CAT 4) bermula 1 Julai di https://my.bookmyshow.com/.
Baca juga: