Setelah hampir tujuh tahun dikeluarkan, lagu Chentaku nyanyian Zizan Razak bersama Sonaone telah barjaya meraih 1 bilion tontonan di TikTok.
Lagu yang dikeluarkan pada tahun 2017 tersebut merupakan terbitan label Rocketfuel Entertainment yang turut mendapat sentuhan penyanyi rap terkemuka negara, Joe Flizzow.
Menerusi perkongsian di Instagram Rocketfuel Entertainment, Zizan menyatakan rasa syukur dengan pencapaian tersebut dan mengucapkan ribuan terima kasih buat peminat yang membuat kandungan menerusi lagu tersebut.
“Walaupun sudah bertahun lamanya, lagu Chentaku masih lagi relevan dan ia tetap diterima tidak kira umur dan golongan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang membuat kandungan menggunakan lagu tersebut. Disebabkan hasil daripada kandungan-kandungan yang dibuat itu, lagu tersebut berjaya mencecah 1 bilion tontonan yang juga merupakan satu angka yang sangat besar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rocketfuel turut berkongsi potongan klip video TikTok para pempengaruh dan selebriti yang menggunakan lagu dalam kandungan TikTok mereka.
Antara artis dan pempengaruh yang menggunakan lagu tersebut termasuk Mimi Lana, Syafiq Kyle, Meerqeen, Leona, Imranbard, Alan Walker dan ramai lagi.
Untuk info, Chentaku dilancarkan pada 2017 yang mengisahkan tentang seorang jejaka yang telah jatuh cinta pandang pertama dan berusaha untuk mendekati gadis tersebut.
Bagaimanapun, cinta itu hanya dari jauh dan rasa malu menyelubungi diri masing-masing tatkala pertama kali bertemu.
Baca juga: