Fazura nafi rumah tangga sedang bergolak, lebih fokus isu Palestin

Selebriti terkemuka tanah air, Nur Fazura menafikan dakwaan rumah tangganya sedang bergolak seperti yang dikhabarkan media baru-baru ini.

Fazura akui agak terkejut selepas mendengar spekulasi berkenaan dan mengungkapkan hubungan bersama suaminya ketika ini dalam keadaan baik-baik sahaja.

“Sebenarnya saya tidak tahu hujung pangkal daripada mana cerita ini bermula. Kawan-kawan saya ramai yang menghubungi saya mengenai berita tersebut.

“Saya faham mungkin ada peminat yang ambil berat dan sudah lama tidak nampak kami bersama menerusi hantaran di media sosial kami. Kalau ada spekulasi mengatakan hubungan kami bermasalah, itu memang tidak betul. Saya dan Fattah okay sahaja,” katanya.

Jelasnya lagi, keputusan tidak mempamerkan kemesraannya bersama suaminya adalah kata sepakat mereka berdua yang hendak memberikan laluan kepada isu Palestin sebagai tanda hormat.

“Secara jujurnya, saya menghadkan hantaran di media sosial yang mempamerkan kemesraan keluarga saya. Bagi saya tidak manis jika saya berkongsi perkara gembira sebab saya sangat terkesan melihat penderitaan rakyat Palestin.

“Bukan setakat gambar bersama Fattah, malah gambar anak, Nur Fatima Aisya pun saya fikir panjang sebelum berkongsi,tetapi disebabkan ramai peminat yang merindui Fatima jadi saya ada lah selit-selit sedikit posting Fatima,” katanya ketika ditemui Malaysia Bangkit selepas Majlis pelancaran Koleksi Merdeka 2025 Prospec KPM X Fazura di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, pada Isnin.

Sebelum ini, tular di media sosial yang mendakwa rumah tangga pasangan selebriti itu dalam keadaan goyah akibat kurang melakukan hantaran bersama di media sosial.

Sekadar info, Fattah dan Nur Fazura mendirikan rumah tangga pada November 2017. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata, Nur Fatima Aisya, yang berusia 4 tahun.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat