Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhi bekas pembantu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Mohd Zulfahimin Mahdzir, 40, hukuman penjara 13 tahun dan dikenakan dua sebatan kerana merogol seorang wanita di sebuah hotel, selepas sambutan ulang tahun kelahirannya, empat tahun lalu.
Mahkamah mendapati Mohf Zulfahimin bersalah atas pertuduhan pindaan merogol mangsa berusia 35 tahun itu yang juga kenalan rapat wakil rakyat, Muhammad Hilman Idham.
Hakim, Nor Hasniah Ab Razak berpuas hati pembelaan ahli perniagaan itu tidak mempunyai merit dan gagal menyangkal keterangan saksi-saksi pendakwaan (saksi mata) yang menyatakan wanita itu mabuk pada malam kejadian.
Mohd Zulfahimin dalam keterangannya pada 15 Januari lalu mengaku mengadakan hubungan seks dengan mangsa, namun mendakwa ia dilakukan dengan kerelaan wanita itu, bukan dalam keadaan mabuk selepas mangsa menggoda dan mengajak menemaninya di bilik itu.
“Bagaimanapun, pembelaan tertuduh bahawa mangsa mengajak menemaninya pada malam itu tidak boleh dikatakan secara automatik wanita itu merelakan untuk mengadakan hubungan seks dengannya,” demikian menurut penghakiman bertulis hakim berkenaan bertarikh 25 Julai lalu yang diperoleh media melalui laman web mahkamah.
Mohd Zulfahimin didakwa merogol mangsa di antara jam 1 pagi dan 3 pagi, pada 5 Disember 2020 di sebuah bilik hotel di ibu negara.
Naratif kes pendakwaan menyatakan, pada malam kejadian, mangsa dijemput oleh Muhammad Hilman untuk meraikan majlis ulang tahun kelahiran mangsa bersama-sama tiga rakan lain, termasuk tertuduh di restoran hotel berkenaan.
Kelima-lima mereka serta seorang rakan lain kemudian berhibur di pusat karaoke hotel itu.
Mangsa kemudian mabuk selepas mengambil minuman keras sehingga terpaksa dipapah ke bilik hotel. Keterangan pekerja hotel menunjukkan bilik itu didaftar atas nama tertuduh.
Mangsa mengaku berada dalam keadaan separa sedar dan menyedari tertuduh menindihnya.
Selepas terjaga kira-kira jam 4.30 pagi, mangsa mendapati dirinya dalam keadaan bogel sebelum menemui kondom yang sudah digunakan dalam tong sampah bilik hotel itu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mohd Zulfahimin bagaimanapun merayu terhadap sabitan dan hukuman berkenaan ke Mahkamah Tinggi.