Agong, Raja Permaisuri zahir penghargaan buat warga ATM

Sempena Hari Pahlawan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan penghargaan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Baginda bertitah, di atas jasa, khidmat serta bakti yang dicurahkan dalam melindungi kedaulatan tanah air tercinta.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya, baginda yang juga merupakan Ketua Utama Negara dan pemerintah tertinggi ATM, menyanjung tinggi pengorbanan wira-wira negara dalam menjaga keamanan serta ketenteraman tanah air tanpa mengira masa.

Dalam masa sama, baginda juga tidak lupa dan turut menyampaikan salam takziah buat prajurit yang gugur di medan perang demi menjaga keamanan negara.

“Terima kasih para perwira negara. Jasa dan bakti anda akan sentiasa dikenang. Al-Fatihah dan salam takziah buat pahlawan dan perwira negara yang terkorban semasa bertugas.

“Semoga roh mereka yang beragama Islam sentiasa dicucuri rahmat Allah Subhanahu Wata’ala dan ditempatkan bersama para solihin,” titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat