Orang ramai digalak memakai pakaian batik ketika sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, Khamis ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, galakan berkenaan bukan sahaja bagi memeriahkan acara sambutan bertemakan Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan itu, malah ia juga dapat menunjukkan sokongan padu kepada industri batik tempatan.
“Kita ingin ketengahkan dan utamakan baju dan fesyen batik kerana ini semestinya menjadi kebanggaan untuk rakyat Malaysia,” katanya selepas meninjau raptai sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya, hari ini.
Mengulas tahap persiapan sambutan berkenaan, Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 berkata, ia berjalan lancar dan pihaknya sedang meneliti isu berkaitan jangka masa bagi memastikan tiada masalah timbul pada hari berkenaan.
“Saya setakat ini berpuas hati dengan tahap persediaan, kita lihat khemah utama telah siap dipasang dan ada beberapa kelengkapan lagi (akan diselesaikan), sekarang sedang teliti isu masa, sekiranya pasukan merasakan ada keperluan untuk kita buat pelarasan kita akan buat kerana kita ada ruang masa yang terhad sebab isu penerbangan,” katanya.
Mengenai isu liputan internet, Fahmi berkata beberapa kenderaan ‘Cell On Wheels (COW)’ milik penyedia perkhidmatan telekomunikasi akan ditempatkan di kawasan sekitar Dataran Putrajaya bagi memasti kelancaran capaian.
“Saya telah mengarahkan supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) meneliti perkara itu dan menyesuaikan peralatan untuk memastikan tidak berlaku apa apa gangguan telekomunikasi pada hari itu,” katanya.
Fahmi juga menggalakkan semua pihak yang terlibat termasuk petugas media untuk menguji capaian liputan internet dan isyarat telekomunikasi talian masing-masing pada hari raptai penuh Hari Kebangsaan 2023 pada 29 Ogos ini.
“Kita tidak mahu ada masalah hingga jejaskan tugasan petugas yang terlibat,” katanya.