Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) Platform for Reform menyuarakan kebimbangan mendalam berkenaan rancangan kerajaan untuk melesenkan dan mengawal selia platform media sosial di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
CSO mendakwa terdapat keperluan menangani isu seperti buli siber, penderaan kanak-kanak dan sindiket penipuan kewangan, namun kebimbangan itu akan memberi implikasi terhadap hak kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat.
Justeru menurutnya, langkah-langkah yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terlalu umum dan boleh disalahgunakan untuk menyekat perbezaan pendapat yang sah.
“Kami bimbang tindakan ini mungkin menghalang hak asasi demokrasi untuk kebebasan bersuara.
“Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan apakah kebebasan sedia ada mendorong kepada jenayah, CSO menegaskan pentingnya kerangka peraturan yang teliti dan telus.
“Pendekatan ini berisiko menggabungkan ungkapan yang sah dengan tingkah laku berbahaya, yang berpotensi membawa kepada penapisan,” kata kenyataan tersebut pada Khamis.
CSO menekankan bahawa Kerajaan Madani harus berpegang kepada prinsip menghormati dan mempercayai rakyat, serta mempertahankan kebebasan bersuara berdasarkan bukti konkrit.
Dalam pada itu, CSO berpendapat bahawa undang-undang pelesenan tidak sepatutnya digunakan untuk mengawal wacana awam atau mendiamkan pengkritik.
Sebagai cadangan, CSO mengusulkan agar kerajaan menjelaskan skop peraturan, melaksanakan langkah-langkah perlindungan terhadap penyalahgunaan, mengkaji semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, serta menubuhkan badan pengawasan media sosial yang bebas.
Mereka turut menzahirkan harapan agar langkah-langkah tersebut dapat memastikan kebebasan bersuara yang adil dan tidak terjejas.