Kekosongan DUN Mahkota Johor Dimaklum Kepada SPR Ahad Ini

PETALING JAYA: Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ahad ini.

Speaker DUN Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, ia berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada tengah hari Jumaat.

“Saya akan masuk pejabat dan InsyaAllah saya akan memaklumkan kepada SPR Ahad ini.

“Masa sekarang baru dan tidak sesuai kalau kita hendak umum tetapi kita akan maklum segera, situasi ini juga pernah berlaku semasa pemergian ADUN Pulai, Datuk Salahuddin Ayub, sehari selepas itu saya buat pengumuman, sebab hari ini dan esok cuti, kita tunggu Ahad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pengebumian jenazah Allahyarhamah Sharifah Azizah di Tanah Perkuburan Islam Raudhatus Sakinah, Kampung Tengah Kluang di Kluang petang semalam.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah Sharifah Azizah selamat dikebumikan kira-kira jam 5.25 petang.

Allahyarham Sharifah Azizah, 64, dimasukkan ke hospital berkenaan selepas mengalami pendarahan dalaman dan sesak nafas sejak Rabu.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merupakan bekas Ketua Wanita UMNO Johor dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.
Sebelum ini, Sharifah Azizah adalah ADUN Penawar dari 2018 sehingga 2022.

Beliau adalah anak kepada Allahyarham Datuk Syed Zain Idrus Shahab Al-Haj yang merupakan bekas Speaker DUN Johor paling lama berkhidmat, iaitu dari 1978 hingga 1990.

Anda Mungkin Berminat