Pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh tidak membantu usaha untuk mencapai gencatan senjata di Semenanjung Gaza.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata demikian apabila ditanya wartawan pada Khamis sama ada pembunuhan Haniyeh menjejaskan peluang untuk perjanjian gencatan senjata.
“Ia tidak membantu,” kata Biden menurut laporan Reuters.
Biden juga berkata, beliau telah mengadakan perbincangan secara berterus terang dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
“Kami mempunyai asas untuk gencatan senjata. Dia perlu mengambil tindakan, dan mereka perlu bertindak sekarang,” katanya.
Hampir 40,000 rakyat Palestin kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh sejak serangan udara dan darat oleh Israel pada 7 Oktober 2023.
Haniyeh dibunuh semasa lawatannya ke ibu kota Iran, Tehran pada Rabu.
Pembunuhan itu berlaku sehari selepas Komander Hizbullah, Fouad Shukr, terbunuh dalam serangan udara Israel di pinggir bandar selatan Beirut.
Perbincangan untuk gencatan senjata dan pertukaran tebusan, yang diteruskan melalui pengantara AS, Qatar, dan Mesir, dilihat terhenti selepas serangan di Beirut dan Tehran.