PETALING JAYA: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa ketegangan di antara dua parti komponen PN sudah selesai.
Menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu, Hamzah berkata, ketegangan yang terjadi di antara PAS dan Gerakan tidak lebih sekadar kocakan di dalam cawan.
“Kocakan air dalam cawan itu biasa dalam hal ehwal keluarga.
“Semuanya telah selesai menerusi musyawarah adik-beradik,” katanya secara kiasan.
Dalam hantaran tersebut, Hamzah memuat naik gambar pemimpin-pemimpin kanan PN sedang mengadakan perbincangan antaranya Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden Gerakan, Dominic Lau.
Perjumpaan itu dipercayai selepas berlangsungnya proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Ninggiri yang telah membuka tirai hari ini.
Terdahulu, kemelut di antara PAS dan Gerakan tercetus susulan isu pembabitan syarikat arak dalam program menyalurkan dana kepada sekolah Cina baru-baru ini.
Kedua-dua pihak menzahirkan pandangan berbeza sehingga mendorong beberapa pemimpin PAS secara terbuka mengkritik Gerakan, bahkan mempersilakan parti itu jika mereka mahu keluar PN.
Malah, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari memberi bayangan bahawa parti itu mungkin tidak akan bersama dengan Gerakan di bawah gabungan politik serupa pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).